Oleh : Adnan Mohamad
SETIU, 6 Mei – Kira-kira enam pekebun di Kampung Seri Bayas, Hulu Seladang di sini mendakwa kerugian hampir RM100,000 apabila tanaman kelapa sawit yang sedang menunggu hasil diserang sekumpulan gajah liar sejak dua bulan lalu.
Situasi berkenaan menyebabkan pekebun kini mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak gajah terus menyerang tanaman mereka.
Seorang pekebun, Wan Jusoh Wan Abdullah berkata, dia berjaya mengesan empat ekor gajah ‘singgah’ ke kebunnya sebelum mencabut umbut kelapa sawit yang ditanam sejak empat tahun lalu.
Akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian besar apabila 115 pokok dari 230 pokok kelapa sawitnya yang ditanam musnah dalam masa lima minggu ini.
“Semua tanaman kelapa sawit yang dimusnahkan gajah itu sedang menunggu masa untuk dituai, keadaan ini membuatkan saya kerugian hampir RM10,000.
“Kelu hati, apabila tiba di kebun pada waktu pagi melihat tanaman kelapa sawit musnah dan pelepah bertaburan,” katanya ketika ditemui nasnionalkini.my, hari ini.
Penduduk jati dari Kampung Bukit Pelong, Bandar Permaisuri, itu berkata, dia telah membuat aduan kejadian tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perlilitan) Terengganu.
Malah, berharap pihak berkuasa mengambil tindakan dengan ancaman berkenaan.
Seorang lagi pekebun, Ahmad Shazrul Hisyam Mohamad, 32, berkata, diamengalami kerugian lebih RM15,000 apabila 400 tanaman kelapa sawit dimusnahkan.
“Saya memiliki kelapa sawit seluas 5.2 hektar dan daripada jumlah trsebut, kira-kira 400 daripadanya telah dimusnahkan oleh gajah tersebut, ” katanya yang tinggal di Kampung Che Long.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Azamani Ismail, terkilan apabila tidak dapat melihat hasil tanaman yang diusahakan selama tiga tahun lepas selepas 60 tanaman kelapa sawitnya dikerjakan haiwan liar itu.
Bagi mengelak kerugian berterusan, mereka bekerjasama sesama sendiri dan bergilir-gilir menjaga kebun terutama pada waktu malam bagi mengelak kehadiran kumpulan gajah berkenaan. – nasionalkini.my