in

Anak maut dipercayai akibat strok haba

FB IMG 1683002634948
Airel Syahren Syahrol meninggal dunia dipercayai akibat strok haba - gambar ihsan Facebook

KLUANG, 2 Mei – Seorang bapa tidak menyangka dia akan kehilangan anak buat selama-lamanya hanya dalam tempoh tujuh jam selepas anaknya itu mengalami demam yang disyaki akibat strok haba.

Menurut Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, dia mendapati anak keduanya, Airiel Syahren, 12, mengalami panas badan pada malam Ahad lalu.

Susulan itu katanya, dia meminta anaknya itu untuk berehat di dalam bilik, namun kira-kira jam 12 tengah malam, anaknya mula meracau.

“Pada mulanya, saya ingatkan dia hanya demam biasa, saya kemudiannya kejutkan dia dan suruh dia tidur di luar (ruang tamu), mungkin di bilik itu sejuk. Lepas itu saya dengar macam bunyi benda jatuh dan kemudian saya dapati dia (anak), mengalami kram (kejung) dengan badan mengerekot di ruang tamu.

“Keadaan itu buatkan saya panik, saya telefon 999 dan disambungkan ke Hospital Kluang (Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom). Pihak hospital ada tanya, apakah anak saya ada sawan? Lagilah saya panik, tapi pihak hospital beritahu supaya mengiringkan badan anak saya, jangan bagi dia makan atau minum dan tunggu ambulans sampai,” ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya.

Syahrol Azmi berkata, dalam tempoh menunggu ambulans sampai, anaknya tetap meronta-ronta sehingga terberak dan terkencing.

“Keadaannya macam terlalu sakit. Adiknya pun jadi macam ini tetapi sekejap sahaja, dalam seminit dua,” katanya.

Tambah Syahrol Azmi, dia bersama anak lelaki sulungnya, turut ke hospital bagi menemani Airiel Syahren pada awal pagi Isnin.

Bagaimanapun katanya, dia pulang ke rumah sekitar jam 4 pagi dan meminta anak lelaki sulungnya untuk berada di hospital.

“Tidak lama selepas itu saya terima panggilan telefon daripada anak sulung mengatakan dia tak boleh tunggu kerana masih di bawah umur dan pihak hospital turut menelefon saya meminta saya datang dan bawa pampers (lampin pakai buang) ke hospital.

“Saya kemudiannya datang ke hospital dan mendapati doktor sedang melakukan rawatan terhadap anak saya dengan menggunakan alat khas macam pump tu. Saya kemudiannya dipanggil oleh salah seorang doktor ke biliknya dan diberikan penerangan mengenai keadaan anak saya sambil doktor yang lain meneruskan tugas mereka.

“Melihatkan keadaan anak saya macam tu saya dah tak sampai hati. Dalam hati saya berkata, ‘kalau nak pergi, pergilah’ jangan seksa dia macam ini, keadaan dia tak mengizinkan dia untuk terus sakit,” katanya.

Berdasarkan kepada perakuan daripada pihak Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, Airiel Syahren disahkan meninggal dunia akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis.’

Jenazah murid Sekolah Kebangsaan Lelaki Bandar Kluang itu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong selepas Zohor, pada Isnin.

Seorang lagi anak Syahrol Azmi, Aidil Syahren, 9, juga demam pada Ahad lalu dan kini dilaporkan stabil serta masih berada di HEBHK.

Sementara itu, Syahrol Azmi menasihatkan agar segera ke klinik sekiranya anak atau diri sendiri demam, kerana dikhuatiri ia adalah simptom strok haba.

“Simptom strok haba ni boleh sebabkan sawan, dia panas kat dalam dan boleh rosakkan organ dalaman macam buah pinggang, paru-paru dan anak saya doktor cakap dah sampai tahap radang otak,” katanya. – nasionalkini.my

IMG 20230502 WA0005

Pelabur asing jual ekuiti tempatan sebanyak RM187.8 juta pada minggu lalu – MIDF Research

344244284 1704293546684895 5981533107494967193 n

Zulkifli dilantik Setiausaha Kerajaan Pahang