TEMERLOH 22 Sept. -Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyerahkan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA), yang dibina dengan kerjasama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada lapan penerima di daerah ini.
Baginda menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan atas kemurahan hati baginda memberikan peruntukan besar membantu mereka yang memerlukan untuk memiliki kediaman sendiri.
“Projek Ru’RASA merupakan projek yang diusahakan pihak saya dan Presiden UAE. Bagi pihak saya dan kerajaan negeri, terima kasih kepada baginda. Saya cuma menunaikan amanah.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana melunaskan sebahagian daripada pembinaannya, iaitu 178 unit Ru’RASA akan dibina di Pahang dan sehingga kini, 92 sudah siap,” titah baginda pada majlis penyerahan rumah tersebut hari ini.
Al-Sultan Abdullah juga berkenan mencemar duli melawat empat Ru’RASa di Kampung Ketam, Kuala Sanggang, Kampung Batu dan Kampung Bukit Kelulut, semuanya di daerah Temerloh.
Turut berangkat anakanda baginda iaitu Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Hadir sama, Charge D’Affaires kedutaan UAE, Aamer Hasan Alteneiji dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan terima kasih kepada kontraktor yang terlibat membina rumah tersebut dan mendoakan mereka dirahmati selalu, atas kesudian membantu golongan yang memerlukan.
Khusus kepada penerima rumah, baginda menitahkan mereka untuk menjaga rumah dengan baik dan tidak sewenang-wenangnya menjual rumah tersebut.
“Harap penghuni rumah yang dikurniakan ini berterima kasih dan bersyukur. Rumah ini perlu dijaga baik dan diturunkan kepada waris. Kalau tiada waris (boleh) berhubung dengan pejabat daerah,” titah baginda. – nasionalkini.my