KUALA LUMPUR, 2 Mei – Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang berakhir esok dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75%.
Sepanjang tahun lalu, OPR yang menjadi penanda aras untuk menentukan kadar faedah pinjaman bank telah dinaikkan sebanyak 4 kali daripada paras terendah, 1.75% apabila ekonomi mulai pulih daripada pandemik COVID-19 secara beransur-ansur.
Susulan itu, Kenanga Research turut menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar OPR semasa untuk baki tahun ini, tanpa sebarang risiko luar biasa terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan prospek inflasi.
Firma penyelidikan itu juga tidak menolak pelarasan dasar monetari selanjutnya sebanyak 25 mata asas jika tekanan inflasi kekal tinggi ekoran perbelanjaan isi rumah yang lebih kukuh daripada jangkaan.
“Bagaimanapun, melihat kepada ketidaktentuan prospek pertumbuhan global dengan perdagangan luar dan harga komoditi yang lemah, terdapat kebarangkalian yang terhad bagi BNM untuk menaikkan lagi kadar ini bagi 2023,” katanya dalam nota kajian.
Sebaliknya, ia mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman tahun ini antara 4.5 hingga 5%, lebih rendah berbanding 5.7% pada 2022.
Prospek pertumbuhan pinjaman, katanya, akan terus menyederhana menjelang akhir tahun ini di tengah-tengah impak persekitaran kewangan yang lebih ketat disebabkan pengetatan kadar kumulatif BNM sejak setahun lalu.
“Ini juga mengambil kira kesan asas yang lebih rendah dan normalisasi aktiviti ekonomi selepas krisis pandemik.
“Bagaimanapun, kami percaya pertumbuhan pinjaman akan disokong oleh sektor isi rumah yang berdaya tahan berikutan pendapatan yang bertambah baik dan keadaan pasaran buruh yang stabil, memandangkan kadar pengangguran lebih rendah,” jelasnya.
Sementara itu, AmInvestment Bank Research juga mengekalkan jangkaan bahawa OPR akan dikekalkan pada 2.75% dalam mesyuarat MPC pada Mei.
“Dengan penurunan berterusan kadar KLIBOR 3 bulan ditambah dengan pertumbuhan perdagangan (eksport) yang lebih perlahan baru-baru ini, kami jangkakan kenaikan OPR kemungkinan tertangguh lagi kali ini,” katanya.
Sebaliknya, RHB Investment Bank berkata, bank pusat sedang menilai kesan kenaikan di mana persekitaran luaran kekal mencabar, dan kadar inflasi utama menunjukkan beberapa tanda stabil.
Pada Mac 2023, kadar inflasi di Malaysia mereda kepada 3.4%, paras terendah dalam tempoh 9 bulan, dengan indeks harga pengguna (IHP) pada 129.9.
“Namun, kami tetap mengekalkan unjuran OPR mencapai paras sehingga 3.25% dengan baki risiko cenderung ke arah 3%.
“Ini mengambil kira penangguhan yang lebih lama daripada jangkaan dalam normalisasi dasar dan kemungkinan rasionalisasi subsidi juga ditangguhkan,” jelas firma itu. – nasionalkiny.my