Pelajar maut selepas langgar lembu
Oleh Arman Dhani Zafir
PEKAN, 5 Mei – Seorang pelajar Orang Asli maut apabila motosikal ditunggangnya dipercayai terbabas selepas melanggar sekumpulan lembu sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 petang semalam, di Kilometer 5, Jalan Chini – Kuantan, di sini.
Mangsa dikenali Arizal Arifin, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chini Timur dan berasal dari Kampung Patah Jelutong, Pekan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dalam kejadian sama dua lagi rakan mangsa yang menaiki motosikal berasingan hanya mengalami cedera ringan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dan rakannya tidak sempat mengelak sekumpulan lembu yang melintas jalan dan terlanggar haiwan itu.
“Hasil siasatan awal mendapati motor mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Alza,” katanya di sini, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.
“Dua rakannya yang cedera hanya dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – nasionalkini.my