Oleh Yusuf Shafie
MELAKA , 2 Julai – Seramai 36 pengunjung produk ikonik pelancongan Melaka, Menara Taming Sari, Banda Hilir di sini cemas apabila pelantar berputar dinaiki ‘tergantung’ pada ketinggian 80 meter petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, kesemua 36 mangsa iaitu 26 dewasa, lapan kanak-kanak, serta masing-masing seorang warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sedang bergerak turun daripada menara setinggi 110 meter itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Azlan Abidin berkata, ketika kejadian, menara berputar itu sedang bergerak turun sebelum ia tiba-tiba terhenti pada ketinggian 60 meter.
“Ia adalah insiden yang biasa kami tangani sebelum ini cuma kali ini pihak bomba datang selepas mendapat panggilan kecemasan daripada pengunjung.
“Alhamdulillah, pasukan teknikal kami berjaya membawa turun kesemua 36 penumpang dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dan pihak bomba turut membantu di bawah,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambahnya, pihaknya bagaimanapun masih menunggu laporan penuh teknikal berhubung insiden berkenaan dan menara ikonik itu dijangka akan kembali beroperasi esok jika tiada sebarang kerosakan.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penguasa Bomba Kanan II, Abd. Rahim Ismail berkata, pikaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 5.58 petang daripada talian kecemasan MERS 999.
“Sepasukan tujuh anggota bersama-sama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi sebelum semua mangsa berjaya dikeluarkan dalam masa lima minit.
“Insiden itu dipercayai berpunca daripada kerosakan sistem menara dan kita bimbang mangsa mengalami kekurangan oksigen kerana kejadian dikatakan berlaku sekitar 5.30 petang sebelum kami mendapat panggilan,” katanya kepada pemberita
Sementara itu, tinjauan Nasionalkini di menara tinjau berputar jenis Gyro yang pertama di Malaysia dibuka pada 2008 itu dihentikan operasi sementara waktu susulan kejadian itu. – nasionalkini.my