Oleh Adnan Mohamad
SETIU, 2 Julai – Seperti wakil rakyat lain, Ahli Dewan Undangan Negeri Permaisuri, Datuk Abd Halim Jusoh tidak ketinggalan menjalankan tanggungjawabnya menyertai ibadah korban dan mengagihkan kepada keluarga miskin dan asnaf di 50 buah kampung di kawasan tersebut, semalam.
Program Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri 2023 yang berlangsung meriah di Kampung Pandan Jaya, Rhu Sepuluh melibatkan lapan ekor lembu.dan berjaya diagihkan kepada kira-kira 1,000 penduduk.
Beliau berkata, ibadah korban sudah menjadi acara tahunan apabila tiba sambutan Hari Raya Aidiladha untuk diagihkan kepada penduduk setempat.
“Tahun lepas, ibadah korban itu dilaksanakan di Kampung Guntung Luar membabitkan lapan ekor lembu dan sebelum itu, pada 2021, ibadah yang sama diadakan di Kampung Banggol juga melibatkan jumlah yang sama dan semuanya diagihkan penduduk setempat terutama daripada golongan miskin dan asnaf.
“Inilah ibadah Hari Raya Haji yang termampu saya lakukan setiap tahun untuk penduduk di DUN Permaisuri, sekurang-kurangnya keluarga miskin berpeluang merasai daging korban,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Abd. Halim berkata, untuk menjadikan kelainan dalam acara korban di kawasannya, pihaknya akan menjemput pemimpin-pemimpin masyarakat di setiap kawasan untuk melafazkan niat korban sebelum disembelihkan.
“Kita akan menjemput pemimpin-pemimpin masyarakat setempat dari kampung terbabit untuk datang ke lokasi penyembelihan lembu supaya mereka melafazkan niat ibadah korban lembu dan mengagihkan kepada penduduknya,” ujarnya. – nasionalkini.my