in

3 rakyat Malaysia dari Sudan selamat tiba

s01
Konflik bersenjata di Sudan bertambah buruk walaupun arahan gencatan senjata dikeluarkan pihak berkuasa negara itu - Gambar oleh Agensi

SEPANG, 7 Mei – Tiga rakyat Malaysia yang terkandas di Sudan berikutan pertempuran bersenjata di negara itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Faisal, Jeddah, Arab Saudi jam 4.15 pagi tadi.

Ketibaan Junaidah Selamat, 49, bersama dua anaknya, Mohamad Ashraf, 19, dan Juliana, 23, disambut anak sulungnya, Ahmad, 25, yang baharu menamatkan pengajian di sebuah univesiti swasta serta wakil Kementerian Luar.

Junaidah berkata, beliau bersyukur dapat selamat pulang ke Malaysia selepas berhadapan 22 hari konflik di Khartoum, Sudan dan berjaya meninggalkan Pelabuhan Sudan dengan selamat, menggunakan kapal tentera laut Arab Saudi menuju ke Jeddah.

Katanya, beliau berasa sedih kerana suami, Ashraf Gasim Elsimd, 54, warga Sudan yang bertugas sebagai Ketua Jabatan, Universiti Sudan tidak dapat pulang bersama kerana tidak dibenarkan keluar dari negara itu.

Katanya, konflik bermula pada 15 April lalu ketika suaminya membawa pulang anak dari sekolah dan pada awalnya, berasakan ia perkara biasa disebabkan sebelum ini sering berlaku demonstrasi.

“Suami memberitahu, ada berlaku pertempuran dan pada keesokan harinya selepas azan Subuh kedengaran bunyi tembakan dari kereta kebal bermula 5 pagi hingga 7 pagi sehingga menggegarkan kediaman,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di KLIA, lapor BH.

Pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) tercetus sejak 15 April lalu dan setakat ini sekurang-kurangnya 528 orang terbunuh dan mencederakan kira-kira 4,600 orang.

Junaidah berkata, berada di tengah peperangan, menempuh laluan jauh dan sukar untuk keluar dari kawasan konflik, pengalaman akan dikenang sepanjang hayat.

Katanya, selepas kejadian semua penduduk keluar untuk membeli barangan keperluan dan kebanyakan barang kering habis dijual termasuk air mineral.

Katanya, pada hari yang sama jam 5 petang, bekalan elektrik terputus enam hari di tiga kawasan dan penduduk secara sukarela mengumpul dana untuk memulihkan bekalan.

“Selepas tiga hari bekalan elektrik pulih ia kembali terputus kerana kawasan kediaman kami berhampiran dengan kem kereta kebal,” katanya.

Junaidah yang berasal dari Jeram, Selangor berkata, beliau mendapat tahu daripada kakaknya yang tinggal di Malaysia memaklumkan Kedutaan Malaysia di Sudan akan membawa rakyat Malaysia keluar dari negara itu lalu mendaftar di sana.

Katanya, mereka keluar dari kawasan kediaman ketika gencatan senjata bermula 4 hingga 11 Mei lalu dengan menaiki bas namun setiap 10 minit perjalanan terdapat sekatan jalan raya dilakukan tentera bagi melakukan pemeriksaan.

Beliau yang berhijrah ke negara itu sejak 2003 berkata, sepatutnya pada Jun ini mereka sekeluarga merancang pulang ke Malaysia bagi memperbaharui pasport dan sekolah juga ketika itu sedang bercuti.

Bagaimanapun, disebabkan perang meletus perjalanan pulang ke tanah air terkandas.

“Sebelum pulang ke Malaysia saya dapat menghubungi suami dan beliau memaklumkan sebuah pasaraya terbesar di negara itu musnah dibom dan menyebabkan penduduk sukar untuk mendapatkan bekalan barangan keperluan,” katanya.

Junaidah berkata, aktiviti pecah kedai dan kediaman penduduk ditinggalkan juga banyak berlaku ketika ini dilakukan penduduk tempatan untuk mencuri barangan keperluan.

Selain Ahmad, Junaidah turut mempunyai seorang anak perempuan, Aziza, 19, yang kini sedang menuntut di sebuah pusat pendidikan di Perlis sejak 2021. – nasionalkini.my

20230507 080825

Noh Hujan bertunang dengan peguam

IMG 20230507 WA0007

Pelaburan francais RM30 juta dari Australia