KUALA LUMPUR, 7 Mei – Kerajaan berjaya menarik nilai potensi pelaburan sebanyak RM30 juta dalam Misi Perdagangan Francais Malaysia ke Australia selama tiga hari bermula 3 Mei lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia termasuk gandaan ekonomi seperti peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia serta potensi eksport Malaysia ke negara kanggaro itu.
“Penyertaan yang rancak daripada pemain industri francais semasa misi itu berlangsung dijangka akan membawa lebih banyak jenama francais yang mapan dari Australia untuk diperkenalkan di Malaysia dan begitu juga sebaliknya.
“Ini akan mengukuhkan hubungan ekonomi diantara dua negara dan Australia adalah antara 10 negara teratas sebagai rakan global Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu Salahuddin berkata,, misi perdagangan dalam ekspo di negara itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan di bawah program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) bertujuan memupuk serta menggalakkan lebih banyak eksport francais ke luar negara.
Jelas beliau, selain para pegawai dari kementeriannya, delegasi Malaysia turut disertai Persatuan Francais Malaysia dan lapan jenama francais di negara ini.
“Antara francais tersebut adalah Oldtown White Coffee, Marry Brown, Smart Reader Kids, Q-Dees, Us Pizza, Laundrybar, CheeseU dan Home Math Therapy,” katanya ketika berucap merasmikan Pavilion Malaysia di FBOE 2023, Melbourne.
Menurut beliau, misi ke negara itu juga bertujuan memacu dan menggalakkan pengembangan jenama Malaysia ke Australia termasuk bekerjasama dengan pelabur berpotensi serta bersesuaian melalui pameran tersebut.
“Ia adalah satu peluang baik bagi syarikat francais Malaysia untuk bekerjasama dengan bakal ahli perniagaan francais Australia dalam mengembangkan pasaran mereka di negara itu,” jelasnya.
Beliau memberi contoh syarikat francais makanan segera, Marrybrown telah melantik francaisi induk mereka di Australia.
“Begitu juga Smart Reader Kids telah membuka cawangan keempat mereka di Melbourne.
“Ini adalah contoh pada syarikat lain bagi menembusi pasaran antarabangsa dengan mempromosikan jenama Malaysia, hal ini sekali gus meningkatkan reputasi negara di pasaran eksport antarabangsa,” katanya. – nasionalkini.my