Oleh : Adnan Mohamad
SETIU 29 April – Kira-kira 200 penduduk di sekitar bandar Permiasuri di Setiu meneruskan tradisi meraikan sambutan ‘raya enam’ pada 8 Syawal, hari ini.
Masyarakat kampung tersebut menyambut ‘raya enam’ selepas selesai menyempurnakan puasa sunat selama enam hari berturut-turut.
Kesemua penduduk berkenaan terdiri daripada Kampung Buloh Hulu, Kampung Buluh Hilir dan Kampung Bukit Pelong menyambut hari raya itu selepas mereka selesai menyempurnakan puasa sunat selama enam hari bermula 2 Syawal lalu.
Pengerusi Khairat Tanah Perkuburan Islam Bukit Pelong, Mohamad Ngah berkata, sambutan hari raya enam itu dalam kalangan warga kampung berkenaan sudah menjadi kemestian dan diadakan setiap tahun.
Malah, sambutannya lebih meriah daripada sambutan hari raya Aidilfitri apabila penduduk berkumpul beramai-ramai.
Katanya, amajlis sambutan tersebut bermula dengan aktiviti gotong royong membersih kawasan perkuburan secara beramai-ramai yang turut mendapat penglibatan kaum wanita dan kanak-kanak.
“Selepas itu, kami membaca surah Yasin dan tahlil di kawasan perkuburan.
“Selesai semuanya, kami akan menikmati juadah yang dibawa keluarga masing-masing secara beramai-ramai dan ia sudah pasti meriah dan sangat bermakna bagi kami yang meraikan ‘raya enam’ ini,” katanya. – nasionalkini.my