Oleh : Adnan Mohamad
SETIU,1 Mei – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Terengganu digesa supaya lebih proaktif dengan menganjurkan pelbagai program-program kemasyarakatan di kawasan masing-masing.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Terengganu, Mohd Rosli Alias berkata, pihaknya telah mengenalpasti KRT di negeri yang ‘sendu’ dengan tidak menganjurkan sebarang aktiviti termasuk melakukan mesyuarat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sehingga kini, kita berjaya mengesan 10 peratus daripada 529 KRT di Terengganu tidak berdaya maju dengan melakukan program kepada penduduk setempat.
“Sekiranya keadaan ini berterusan kita terpaksa melakukan penyusunan semula selain melantik pengurusan baharu termasuk Pengerusi dan Setiausaha KRT bagi memastikan pengurusan yang baharu dibentuk dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Pengarah Jabatan Perpaduan Negeri Terengganu Bersama Pemimpin KRT Daerah Setiu di Sutera Beach Resort, Merang, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah kira-kira 200 pemimpin termasuk Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari KRT Daerah Setiu dan Pegawai Perpaduan Daerah Setiu, Akhwan Hafis Akma Hidzri.
Mengulas lanjut, katanya tindakan berkenaan terpaksa dilakukan demi kebaikan semua pihak terutama penduduk setempat untuk diberi peluang menikmati pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.
Dalam pada itu, Mohd Rosli menegaskan setiap Pengerusi KRT atau pejuang-pejuang komuniti di peringkat kampung perlu bebas dari pengaruh parti politik agar setiap program yang dirancang mendapat penyertaan daripada semua pihak
KRT yang ditubuhkan JPNIN adalah tulang belakang kerajaan bertujuan untuk menyatupadukan pelbagai lapisan penduduk setempat melalui program-program yang dianjurkan. – nasionalkini.my