KERJAYA dalam bidang solekan dan andaman mampu memberikan pulangan lumayan jika kena caranya.
Bagi Helmei Nordin, 28 tahun, dia yang sudah hampir 10 tahun terbabit dalam bidang itu berpandangan, minat dan sokongan keluarga menjadi pendorong utama untuk meneroka perniagaan berkenaan.
“Saya sudah merasai jatuh bangun dalam bidang ini, banyak pengalaman dilalui dan berbekalkan doa ibu, saya mampu bertahan sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui nasionalkini.my baru-baru ini.
Dia yang lebih terkenal dengan panggilan Emy Nordin berkata, bidang solekan dan andaman pengantin memberi cabaran dan kepuasan tersendiri kepadanya.
“Saya belajar mengandam pengantin dengan salah seorang ‘mak andam’ terkenal di Kuantan dan dia yang banyak bersabar serta membantu saya menguasai bidang ini.
“Sekarang saya bukan sahaja menyediakan perkhidmatan andaman dan solekan, tapi turut menawarkan khidmat sewaan baju pengantin dan pelamin,” katanya lagi.
Emy Nordin memberitahu, dia beroperasi dari rumahnya yang terletak di Perumahan Awam Kos Rendah Panching, Jalan Sungai Lembing.
Katanya, walaupun jaraknya agak jauh dari bandar raya Kuantan, namun setakat ini rezekinya masih murah.
“Yang penting kita memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, dari situ kita dapat bina keyakinan dan kepercayaan orang ramai,” ujarnya.
Dia turut memaklumkan minat dalam bidang solekan dan andaman bermula sejak berumur 10 tahun dan sering memerhati setiap kali ‘mak andam’ melakukan kerja mereka ketika majlis perkahwinan.
“Saya pernah menyolek sepupu ketika berusia 10 tahun dan sejak itu minat dalam bidang ini tercetus,” katanya.
Emy Nordin berkata, dia memulakan perniagaannya dengan modal RM15,000 dan mengakui pelaburan dibuatnya kira-kira 10 tahun lalu itu sangat berbaloi.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan andaman dan solekan oleh Emy Nordin, boleh melawat laman sosial Facebook https://www.facebook.com/profile.php?id=100090100941666&mibextid=ZbWKwL dan Instagram https://instagram.com/decoby_3h?igshid=NTc4MTIwNjQ2YQ== miliknya. – nasionalkini.my