KUALA LUMPUR 4 Mei – Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan kenyataan media bertajuk ‘Sokongan Terhadap YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Ahli Parlimen Marang Sebagai Perdana Menteri Malaysia’ adalah palsu.

Terdahulu tular kenyataan palsu menggunakan logo parti itu bertarikh 4 Mei yang ditandatangani oleh beliau memaklumkan bahawa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok bagi mempersembahkan surat akuan sumpah 115 ahli Parlimen sebagai menyokongnya menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Takiyuddin yang merupakan ahli Parlimen Kota Bharu itu menjelaskan kenyataan yang tular pada masa ini adalah palsu.
Malah, beliau menerusi kenyatan di hantaran Facebook memaklumkan, ia tiada kaitan dengan mana-mana pihak.
“PAS ingin memaklumkan akan diterima ke bawah Duli yang maha Mulia Seri PAduka Baginda Yang Di pertuan Agong pada hari esok bagi mempersembahkan surat akuan bersumpah dari 115 Ahli parlimen sebagai memberi sokongan kepada Tuan Guru Abdul Hadi, Ahli Parlimen Marang sebagai Perdana Menteri,” tulis kenyataan berkenaan. – nasionalkini.my