ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tetap dengan pendirian akan hadir ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) yang dijadualkan berlangsung Mei depan.
Katanya, walaupun tidak dijemput dia akan tetap hadir sebagai seorang pengunjung dan membawa teropong.
“Saya akan bawa teropong pergi duduk di tepi pagar airport (lapangan terbang). Saya ada kata kat pegawai saya kalau kita tak dijemput kita beli meja lipat seorang sebiji, teropong seorang satu, kita dok tepi pagar kita tengok kapal navy, kapal terbang.
“Lagipun tepi pagar itu pun, ada orang jual laksa, boleh makan-makan, sebagai pengunjung takkan lah depa nak halau,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.
Menurut Muhammad Sanusi, ini kerana beberapa persediaan sudah dilakukan oleh kerajaan negeri termasuk penginapan, mobiliti, pengangkutan dan pihak keselamatan.
“Saya ni Pengerusi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan saya Menteri Besar, banyak lagi jawatan saya yang berkaitan, jadi kalau saya tak dijemput saya tetap akan hadir.
“Pegawai saya dah tempah hotel berbulan-bulan lalu, kenderaan, motosikal polis semua dah ada,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beliau difahamkan akan dijemput ke acara berkenaan berdasarkan jawapan daripada Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Dewan Negara sebelum ini.
Sumber Berita: Sinar Harian