SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan dan Pakatan Harapan (PH) hampir menemui titik persefahaman berhubung pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau telah pun mengadakan perbincangan awal dengan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengenai perkara itu dan ia berlangsung dalam keadaan positif.
Menurutnya, secara dasarnya UMNO dan PH bersetuju untuk memastikan kemenangan dapat dipertahankan di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN nanti.
“Perbincangan telah pun diadakan bagi mencapai persefahaman untuk memastikan 36 kerusi iaitu 16 milik UMNO dan 20 milik PH dapat dipertahankan oleh Kerajaan Perpaduan.
“Kita juga telah mencapai persefahaman supaya BN tidak ada pertembungan dengan PH dalam PRN nanti,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Rabu.
Ahli Parlimen Jelebu itu berkata, beliau yakin UMNO dan PH akan mencapai kata sepakat berhubung soal itu dan keputusan akan diperoleh dalam tempoh terdekat.
Tambahnya, pelbagai formula akan digunakan termasuklah mengambil kira keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan sejauh mana potensi sesuatu parti itu boleh menang di kerusi DUN yang bakal ditandingi.
“Cuma saya ada bagi pandangan kepada Menteri Besar bahawa setiap daerah mesti ada wakil dari BN begitu dengan PH.
Sumber Berita: Sinar Harian