Oleh Sukry Ramly
LIPIS, 1 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata proses pembahagian kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak boleh dilakukan secara tergopoh-gopoh.
Katanya, sebarang keputusan perlu dibuat atas faktor kesaksamaan dan kebolehmenangan calon itu sendiri.
“Soal pembahagian kerusi itu bukan sekadar atas dasar kesaksamaan tapi tentang kebolehmenangan, maka apa yang dilakukan parti dalam kerajaan perpaduan adalah mengadakan perbincangan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dahulu.
“Apabila perbincangan di peringkat negeri dimuktamadkan, maka ia akan dibawa ke peringkat nasional di mana pengerusi gabungan dalam BN dan PH akan memuktamadkannya.
“Maka kita tidak akan membuat keputusan tergopoh-gopoh kerana bukan saja soal kemenangan, tetapi soal penerimaan oleh para pengundi dan juga ‘like ability’ seseorang calon yang disukai, yang sesuai dengan cita rasa pengundi di kawasan berkenaan,” katanya.
Dr Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Sungai Koyan dekat sini, hari ini.
Turut hadir Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan proses pembahagian kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) lebih baik berbanding parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
Semalam, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dilaporkan berkata rundingan pembahagian kerusi dalam kalangan komponen PN bagi plihan raya negeri (PRN) di enam negeri sudah berjalan hampir 50 peratus.
Idris memaklumkan rundingan itu masih berjalan di antara PAS bersama rakan-rakan di dalam komponen PN menjelang PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan, Kerajaan Perpaduan masih mempunyai masa yang panjang bagi memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi itu.
“Mungkin sampai bulan Julai atau Ogos untuk kita hadapi kempen pilihan raya secara rasmi.
“Ini perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang pertembungan atau pun sebarang permasalahan apabila calon dipilih itu tidak dapat memberikan kemenangan dalam PRN itu nanti,” katanya lagi. – nasionalkini.my