KUALA LUMPUR 4 Mei – Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sering mencetuskan ‘panik’ kepada orang ramai yang bimbang bayaran pinjaman bulanan mereka terus meningkat terutama di tengah-tengah kos sara hidup yang tinggi.
Ini berikutan kenaikan kadar tersebut kepada 3% seperti diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam meskipun rata-rata penganalisis menjangkakan OPR kekal pada 2.75% selepas dinaikkan kali terakhir pada November lalu.

Sepanjang 2022, OPR mengalami 4 kali kenaikan daripada paras terendah 1.75% selepas ekonomi mulai pulih secara beransur-ansur daripada pandemik COVID-19.
Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia, Dr Razli Ramli berkata, kenaikan OPR ini secara dasarnya akan menyebabkan pembiayaan atau pinjaman menjadi lebih mahal daripada biasa.
“Oleh itu, kepada mereka yang tiada keperluan, tidak perlu dapatkan pembiayaan atau pinjaman dengan pihak bank,” katanya kepada nasionalkini.my hari ini.

Beliau menjangkakan OPR yang menjadi penanda aras untuk menentukan kadar faedah pinjaman bank kemungkinan akan mencecah sehingga 3.5% menjelang akhir 2023.
“Dasar monetari ini adalah untuk mengawal money supply dalam ekonomi dalam usaha menstabilkan kadar inflasi.
“Diharapkan kenaikan OPR ini dapat diimbang sewajarnya dengan dasar fiskal yang baik. Jika tidak, ia akan memburukkan lagi keadaan ekonomi negara,” tambahnya.
Menurutnya, rakyat tidak seharusnya melihat kenaikan ini sebagai beban kerana ia sebenarnya akan merangsang kenaikan kadar pulangan deposit dan pelaburan mereka.

Sebaliknya, ia adalah masa yang sesuai untuk membuat pelaburan atau menyimpan di mana-mana akaun patuh syariah atau pelaburan patuh syariah yang ditawarkan.
Bagaimanapun, MIDF Research dalam nota kajiannya menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar tersebut pada 3% sehingga akhir tahun ini.
Firma itu percaya, tumpuan semasa penetapan dasar monetari bank pusat adalah untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.
“Memandangkan OPR kembali semula kepada tahap sebelum pandemik, kami percaya BNM akan beralih kepada pendekatan tunggu dan lihat terutamanya dengan memantau perkembangan bank pusat utama.

“Sekiranya ekonomi Malaysia bertambah baik daripada unjuran, kami menjangkakan BNM mungkin mengoptimumkan monetarinya melalui normalisasi Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada 2% kepada 3% tahun ini,” jelasnya.
Kadar SRR ini secara dasarnya telah dikurangnya kepada 2% sejak Mac 2020. Namun, keputusan itu bergantung kepada sejauh mana pertumbuhan ekonomi yang stabil, kadar kenaikan harga dan perkembangan yang baik dalam persekitaran makroekonomi terutamanya pemulihan pasaran buruh dan permintaan domestik.
“Dari perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar ini diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi semakin tinggi dan hutang isi rumah terus meningkat,” tambahnya.
Dalam pengumuman semalam, BNM berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menilai bahawa kini adalah masa tepat untuk terus mengembalikan tahap akomodasi monetari ke paras wajar setelah mengambil kira prospek pertumbuhan dalam negeri yang berdaya tahan.
Susulan kenaikan itu, MPC telah mengakhiri rangsangan monetari yang bertujuan untuk menangani krisis COVID-19 bagi menggalakkan pemulihan ekonomi.
Malah, MPC juga mengakui perlunya pendirian dasar monetari yang wajar bagi mengelakkan risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan.
BNM menjelaskan pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi. – nasionalkini.my