Oleh Arman Dhani Zafir
KUANTAN, 8 Mei – Kerajaan Pahang disaran untuk memantau segala bentuk pelaburan yang bakal memasuki negeri ini.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pemantauan tersebut dilakukan agar kesemua pelaburan memasuki negeri tidak mencemarkan alam sekitar negeri ini.
Dalam titahnya itu, baginda turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian kerajaan negeri yang berjaya menghasilkan kira-kira tujuh projek pelaburan antarabangsa dengan nilai dianggarkan lebih kurang RM11 bilion.
“Suka saya nasihatkan pantau betul-betul pelaburan ini. Kita tidak mahu hanya gah pada angka tetapi biarlah rakyat turut menerima limpahan pekerjaan yang bakap cipta.
“Dan yang paling penting kesemua pelaburan yang masuk tidak mencemarkan alam sekitar di negeri saya ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian di Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, titah baginda lagi, sebarang projej yang dilaksanakan mesti seimbang antara pembangunan dan menyokong ke arah pelepasan karbon sifat bersih atau net zero emissions.
“Kita kena ingat, dalam usaha mengejar kemajuan negara dan negeri tidak boleh sama sekali membelakangkan alam sekitar dalam kehidupan.
“Saya tidak mahu menang bersorak kampung tergadai, lebih-lebih lagi Negeri Pahang merupakan negeri yang kaya dengan sumber asli dan khazanah alam,” titah baginda.
Sementara itu, baginda turut berharap, penyadbiran baharu kerajaan negeri ini dapat meneruskan keharmonian serta kegemilangan membangunkan ekonomi sekali Gus meningkatkan pendapatan negeri.
Titahnya, segala pembangunan yang dilakukan adalah untuk kemakmuran rakyat negeri ini.
“Kerajaan saya harus memperkukuhkan lagi iltizam untuk melipatgandakan produktiviti dan daya saing bagi memastikan prestasi kutipan hasil tahun 2023 dipertingkatkan lagi sebagaimana sasaran yang sudah ditetapkan,” titah baginda. – nasionalkini.my