Oleh Yusuf Shafie
ALOR GAJAH, 5 Mei – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hampir memuktamadkan dalam proses pembahagian kerusi bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesepakatan itu juga akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu mesyuarat, malam Ahad ini.
“Setakat ini persiapan kami adalah untuk menentukan kerusi-kerusi yang akan diagihkan dan di peringkat negeri-negeri, Insyaallah ianya telah hampir selesai perundingan antara BN dan PH.
“Selepas selesai, semua keputusan negeri-negeri akan dibawa ke parti masing-masing sebelum ianya diadakan perundingan di peringkat nasional untuk kita memuktamadkan pembahagian itu,” katanya.
Terdahulu beliau menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Melaka di Kediaman Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini malam ini.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setakat ini, kebanyakan negeri telah mempunyai kesefahaman yang baik mengenai pembahagian kerusi antara pemimpin parti.
“Mana-mana kerusi yang akan diselesaikan antara parti-parti BN, ianya akan diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu dan begitu juga saya yakin parti-parti dalam PH.
“…kami memandang penting PRN ini kerana ianya merupakan manifestasi terhadap pengiktirafan kepada kerajaan perpaduan yang memimpin Malaysia keseluruhannya.
“Segala persiapan akan dibuat serapi yang mungkin namun apa yang lebih penting adalah kerjasama antara jentera parti bukan sahaja diperingkat negeri tetapi diperingkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan juga di peringkat lokaliti. – nasionalkini.my