Oleh Adnan Mohamad
SETIU, 5 Mei – Penduduk di lima kampung di daerah ini berada dalam ketakutan selepas enam ekor lembu milik penduduk dibaham harimau sejak dua bulan kebelakangan ini.
Situasi berkenaan menyebabkan penduduk di sekitar Kampung Sungai Bari, Merbau Menyusut, Langkap, Langkap Baru dan Kasar yang kebanyakan petani ketakutan meneruskan aktiviti mereka terutama ke kebun.

Kerisauan penduduk berganda apabila penduduk menemui bangkai lembu dipercayai dibaham binatang buas berkenaan.
Seorang penduduk, Rosli Awang mengakui pernah terserempak sebanyak tiga kali dengan Pak Belang ketika dalam perjalanan ke kebun.
Walaupun binatang buas itu tidak mengganggunya namun ia pengalaman yang sangat mendebarkan.

“Sudah tiga kali saya terserempak dengan pak belang sejak kebelakangan ini, walaupun tidak mengganggu tetapi ia sangat menakutkan saya dan mengganggu aktiviti harian terutama ketika berada di kebun,” ujarnya ketika ditemui nasionalkini.my di kediamannya di kampung Sungai Bari, hari ini.
Kata Rosli lagi, kehadiran pak belang ke kampungnya semakin kerap selepas projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) beroperasi dan dipercayai kesan hutan yang diterokai menyebabkan binatang buas itu kehilangan tempat berteduh.

Perkara demikian diakui oleh dua pekerja di ECRL apabila menjumpai tapak kaki haiwan liar dipercayai harimau ketika memulakan tugas di Kampung Sungai Bari, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Merbau Menyusut, Mohd Zamri Embong berkata, sebelum kejadian di Kampung Kasar, tiga ekor lembu ternakan milik penduduknya ditemukan mati dipercayai diserang haiwan buas berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah menghantar pegawainya untuk melakukan siasatan berdasarkan penemuan tapak kaki haiwan berkenaan.
Beliau menasihatkan penduduk kampung supaya lebih berhati-hati sepanjang keluar rumah terutama ke kebun.
“Jangan melakukan perkara-perkara yang boleh mengancam nyawa seperti mendekati haiwan itu semata-mata untuk mengambil gambar atau merakam video,” katanya. – nasionalkini.my
