in

UUM gubal garis panduan yang lebih komprehensif berkaitan aktiviti kebudayaan

uum
Penggubalan berkenaan akan dilakukan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan-Persatuan Pelajar dan Majlis Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa (INASIS) UUM.

SINTOK, 6 Sept. – Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menggubal garis panduan baharu yang lebih komprehensif berkaitan aktiviti hiburan dan konsert.

Penggubalan berkenaan akan dilakukan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan-Persatuan Pelajar dan Majlis Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa (INASIS) UUM.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, garis panduan aktiviti hiburan dan konsert sudah sedia ada tetapi penggubalan baharu secara komprehensif perlu dibuat yang mengambil kira persetujuan majoriti pelajar.

dr marthada
Dr Ahmad Martadha berkata, pihak UUM amat cakna dan menyokong penuh terhadap pelaksanaan penganjuran aktiviti-aktiviti pelajar di kampus ini termasuk hiburan. Foto: UUM

“Dalam usaha memperkasakan mahasiswa, pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar juga sentiasa membuka peluang dan ruang kepada badan-badan pelajar untuk memberikan pandangan mereka mengenai garis panduan yang tersedia berhubung aktiviti kebudayaan.

“Dalam penggubalan garis panduan baru, kita mengambil kira semua aspek termasuk sensitiviti, adab, kesopanan dan kehendak sebenar para pelajar,” ujarnya kepada nasionalkini.my

Menurut beliau lagi,  garis panduan untuk universiti akan dirangka dan disediakan oleh universiti dengan mengajak MPP dan kepemimpinan pelajar lain untuk turut terlibat sama dalam memberikan input.

Dr Ahmad Martadha berkata, pihak UUM amat cakna dan menyokong penuh terhadap pelaksanaan penganjuran aktiviti-aktiviti pelajar di kampus ini termasuk hiburan.

“Pihak universiti sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan MPP dan JKPS dalam membincang, membentuk serta memurnikan garis panduan yang bersesuaian dengan persembahan kebudayaan di dalam UUM.

“Kita sekali lagi akan bersama-sama dengan MPP dan pemimpin pelajar lain untuk memberikan input bagi merangka garis panduan yang bersesuaian, supaya perkara yang tidak diingini berlaku dalam kampus dan dalam masa sama, pelajar pun dapat menikmati hiburan.

“Apa yang kita mahukan ialah memenuhi kehendak majoriti pelajar dan jenis hiburan yang mereka mahukan,” katanya. – nasionalkini.my

Jenama Tyhany kekal bertahan lebih 12 tahun

Harimau Muda tewaskan Bangladesh