Oleh Ahmad Abd Hamid
HUJUNG minggu pasti menjadi peluang untuk bersarapan dengan keluarga sendiri, maklumlah hari-hari biasa pasti sibuk berkejar untuk urusan kerja.
Bagi penulis sendiri, hari minggu adalah peluang terbaik untuk berkumpul bersama isteri dan anak-anak, bukan sahaja dapat menikmati masa bersama tetapi juga menjadi hari untuk berkongsi rasa dan meluah cerita sambil berbual.
Terbaharu, penulis berpeluang menikmati hidangan sedap warung roti canai dan nasi lemak A&Z di Banggol Pasir, Air Kuning, Changkat Jering, Taiping yang menawarkan pelbagai jenis roti canai atau nasi lemak berlauk ayam goreng dan telur goreng panas?

Warung ini ibarat ‘lokasi panas’ dan menjadi tumpuan ramai.
Ayam dan telur digoreng panas di lokasi, bukan siap di masak. Inilah yang menambah selera pengunjung,selain makanan yang enak, lauk pauk yang panas ini membezakan warung milik pasangan suami isteri ini dengan yang lain.
Selain itu ada lauk pilihan lain seperti sambal sotong, sambal ikan bilis, gulai daging dan sambal ikan sardin. Lauk-lauk ini dimasak sendiri oleh pemilik warung, Muhamad Zuki Ismail, 53, dibantu oleh isterinya, Azura Syafie, 46, yang turut membantu suami di warung. Anak mereka, Mohd Asyraf Aiman, 12, juga membantu pada hari tidak bersekolah.

Penulis yang berkesempatan menjamu selera di warung tersebut ketika berada di Air Kuning baru-baru ini mendapati datang seawal pukul tujuh pagi belum menjamin terus dapat tempat duduk untuk bersarapan pagi. Jika nasib baik ada meja kosong. Jika tidak tunggu dahulu.
Warung terletak dalam kawasan pasar raya Saburtan yang terkenal di kalangan penduduk Banggol Pasir untuk membeli pelbagai keperluan. Kedudukannya berhampiran jalan persekutuan, juga tidak jauh dari tol Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Changkat Jering. Kawasan pasar raya luas dan bertar. Tiada masalah parkir.
Warung A&Z, singkatan nama Azura dan Zuki, terkenal bukan sahaja dalam kalangan penduduk Banggol Pasir dan Air Kuning, tetapi luar dari kawasan lain.
Kerana itu awal pagi sudah ramai datang samaada untuk makan minum di warung atau bungkus bawa balik.

Pelbagai jenis roti canai disediakan. Pilih sahaja kegemaran anda, samaada roti kosong, roti sardin, roti planta, roti telur, roti telur goyang, roti tampal dan roti boom.
Untuk nasi lemak, jangan lupa ayam panas atau telur goreng panas serta pilihan lauk lain. Ada nasi lemak sambal bilis, telur mata, sotong, kerang, udang, sardin dan kari daging.
Muhamad Zuki telah berniaga di kawasan tersebut lebih 10 tahun. Warung dibuka dari pukul tujuh pagi sehingga roti canai dan nasi lemak habis dijual, biasanya sekitar 11 pagi. Ada kala pukul 10 pagi sudah habis, terutama pada hujung minggu. Hari Isnin warung tutup.

Selain beliau sendiri, Zuki dibantu oleh beberapa orang penebar roti canai. Juga ada pembantu di bahagian nasi lemak. Mereka melayan pelanggan dengan mesra serta memastikan pesanan segera dihantar ke meja atau dibungkus.
Penulis melihat sendiri sambutan hangat terhadap warung ini. Ramai pelanggan menunggu untuk makan dan bawa pulang, serta sibuknya pekerja menyiapkan pesanan. Yang pasti roti canai dan nasi lemaknya memang enak dan kerana itu manjadi pilihan ramai.
Jika ingin menikmati pelbagai versi roti canai dan nasi lemak di Warung A&Z, singgahlah jika berada di Taiping atau ketika dalam perjalanan melalui jalan persekutuan atau Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Jangan lewat, nanti habis! – nasionalkini.my