Iskandar Zulkarnain
KUALA LUMPUR 18 Jun – Perikatan Nasional (PN) yakin akan berlaku gelombang dalam kalangan rakyat yang mahukan perubahan menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ini selepas Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin kagum, melihat sambutan yang diberikan oleh golongan belia pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN, semalam.
“Sejurus tiba dari Pulau Pinang selepas merasmikan Konvensyen Perikatan Nasional negeri serta melancarkan jentera PRN semalam, saya ke Shah Alam pula bagi menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN.
“Saya kagum melihat sambutan hebat anak-anak muda dan golongan belia negeri ini yang datang dengan konvoi ribuan motosikal ke majlis ini.
“Saya namakan ini sebagai gelombang anak muda dan gelombang rakyat yang mahu membuat perubahan dalam PRN nanti.
“Saya yakin sokongan padu dalam kalangan orang muda yang sedang berlaku di seluruh negara pada hari ini akan diterjemahkan dalam bentuk undi kepada PN nanti, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Pada masa sama, beliau mengingatkan seluruh kepimpinan dah ahli parti agar terus bekerja kuat, tidak terlalu yakin dan sentiasa berjaga-jaga dalam menghadapi PRN.
“Jangan mudah berpuas hati, jangan lalai dan teruslah berusaha dengan perhebat jentera parti di semua peringkat terutama rakyat akar umbi.
“Tahniah kepada seluruh kepimpinan dan jawatan kuasa Pemuda PN yang berjaya menganjurkan perhimpunan ini dengan jayanya,” katanya lagi. -nasionalkini.my