BEROPERASI sejak kira-kira lapan tahun lalu, E-Western & Tomyam di Taman Pandan Damai 2, dekat Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, sentiasa menjadi tumpuan pelanggan.
Kedai diusahakan Mohd Azri Jantan atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Pok Yie’ bukan sahaja menyediakan pelbagai menu masakan panas, tetapi turut menawarkan bermacam lagi menu untuk dipilih pengunjung.
Walaupun lebih terkenal dengan set masakan panas – tomyam dan hidangan sampingan lain, menu western juga disediakan di situ.
Harganya pula boleh dipilih berdasarkan kesesuaian dan bajet pelanggan.
“Kita cuba memberikan tawaran terbaik untuk semua pelanggan.
“Jadi kita sediakan pelbagai jenis menu untuk disesuaikan mengikut selera dan kemahuan (kegemaran) mereka,” katanya.
Selain masakan panas, western dan makanan ringan seperti kentang dan kerepok, E-Western & Tomyam juga menyediakan menu ‘shell out’ untuk dipilih penggemar makanan laut.
Katanya, menu ‘shell out’ itu diperkenalkan mengikut pakej yang boleh dinikmati bermula untuk dua hingga 10 orang atau lebih.
“Harga untuk setiap pakej itu sudah kita tetapkan, tapi kalau pelanggan ada nak tambah hidangan dalam pakej ditawarkan, kita boleh sediakan untuk mereka,” katanya lagi.
Bagi memenuhi selera pelanggan, E-Western & Tomyam juga menyediakan pelbagai jenis minuman untuk dipilih pelanggan.
“Kopi hipster pun ada, minuman booba pun kita ada dan terbaru, air kelapa segar pun kita sediakan,” katanya.
Bagi mereka yang masih mencari kedai paling lengkap untuk menjamu selera, bolehlah berkunjung ke E-Western & Tomyam dan nikmati pelbagai jenis hidangan selain layanan mesra daripada ‘Pok Yie’ dan pekerja kedai itu.- nasionalkini.my