PETALING JAYA, 13 Mei – Seramai 10 ahli kongsi gelap ‘Geng 36’ tidak sempat memulakan pergaduhan selepas mereka ditahan polis.
Ketua Polis Jempol ACP Hoo Chang Hook, berkata polis menerima makluman pada 8 malam, kelmarin, mengenai sekumpulan lelaki berkumpul di hadapan sebuah rumah di Bahau dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota D7 IPD Jempol bergegas ke lokasi dan berjaya menahan 10 lelaki berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan parang, senjata tajam diubah suai dan lain-lain senjata yang disimpan serta disembunyikan lokasi berhampiran.
“Polis percaya kumpulan lelaki berkenaan membuat persediaan untuk pergaduhan dan melakukan jenayah,” katanya lapor Harian Metro.
Katanya, siasatan lanjut mendapati individu yang ditahan adalah ahli kumpulan kongsi gelap Geng 36 berdasarkan cacah pada badan dan gambar simbol ’36’ dalam telefon bimbit semua suspek.
“Polis membuka siasatan mengikut Seksyen 144 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata dalam perhimpunan menyalahi undang-undang dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 memiliki senjata berbahaya di tempat awam.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan kesemua suspek direman selama empat hari bermula Rabu lalu hingga esok,” katanya. – nasionalkini.my