KUALA LUMPUR, 3 Mei – Orang ramai diberi amaran mengenai sirap ubat batuk Guaifenesin Syrup TG Syrup buatan QP Pharmachem Ltd. (Punjab, India) yang tercemar dengan diethylene glycol dan ethylene glycol melebihi had dibenarkan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan amaran itu adalah susulan daripada amaran dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 25 April lalu mengenai ubat batuk berkenaan.
Menurut KKM, produk itu juga tidak berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Orang awam adalah diminta untuk berhati- hati dan mengambil langkah tindakan proaktif dengan
melaporkan sebarang aduan mengenai produk ini melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my.
“Anda juga boleh membuat laporan di Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau menghubungi talian 03-78413200 untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil oleh KKM,” menurut kenyataan itu seperti dilaporkan Malaysiapost.
KKM memaklumkan produk tercemar itu tidak selamat digunakan terutamanya untuk kanak-kanak kerana ia boleh mendatangkan kesan serius atau kematian.
Antara kesan sampingan terhadap pengguna adalah cirit-birit, sakit abdomen, sukar buang air kecil, kecederaan buah pinggang, perubahan mental, muntah dan sakit kepala. – nasionalkini.my