in

Cadangan menaikkan kadar caruman KWSP perlu diteliti

20230503 064357
Gambar hiasan

SHAH ALAM, 3 Mei – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berisiko menghentikan operasi perniagaan jika kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, cadangan itu akan memberi impak negatif khususnya kepada PMKS.

“Lebih banyak PMKS akan ditutup kerana kos operasi terlalu tinggi dan margin dalam menjalankan perniagaan semakin kecil.

“Syarikat besar, syarikat multinasional (MNC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mungkin tidak mempunyai isu yang begitu besar tetapi PMKS menghadapi isu itu setiap hari.

“Walaupun terdapat hasrat untuk menaikkan kadar caruman KWSP, ia perlu dilakukan secara beransur-ansur supaya semua pihak dapat menyesuaikan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Syed Hussain turut menyifatkan penambahan caruman kepada majikan sahaja adalah tidak adil.

Ujarnya, sebarang kenaikan caruman KWSP perlu daripada majikan dan pekerja kerana ia adalah tanggungjawab kolektif.

“Kami tiada bantahan jika kerajaan mahu menambah nilai untuk mana-mana kumpulan tetapi perniagaan ketika ini tidak mampu menampung kos tambahan.

“Namun caruman KWSP adalah tanggungjawab kolektif pekerja, majikan dan kerajaan, bukan semata-mata (mengharapkan) majikan sahaja.

“Justeru, MEF berharap kerajaan dapat melihat cadangan berkenaan secara menyeluruh terutama kesan kepada majikan membabitkan PMKS,” ujarnya.

Pada Isnin, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan berkenaan telah dikemukakan, tetapi belum dibawa ke mesyuarat jemaah menteri. – nasionalkini.my

budak

JKNJ sahkan kematian kanak-kanak 12 tahun bukan disebabkan strok haba

IMG 20230503 074051

Jangan minum ubat batuk tercemar dari India