Putrajaya, 25 April – Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu berkuat kuasa Jumaat lalu.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, Dr Muhammad Radzi, 58, menggantikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara wajib pada Jumaat lalu selepas 35 tahun berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
Dr Zaliha dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Dr Muhammad Radzi adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara.
“Dr Muhammad Radzi pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, Ketua Penyelaras Perubatan Negeri Kedah dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya lagi, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Perkhidmatan Gastroentrologi dan Hepatologi dan menjadi pengerusi pentauliahan bidang kepakaran tersebut dari 2013 sehingga 2021.
“Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibiliti beliau mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama saya dalam memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya. – nasionalkini.my