OSTEOARTRITIS (OA), penyakit sendi yang paling umum di dunia, lazimnya memberi kesan pada lutut, pinggul dan tulang belakang*
Sendi mudah terasa sakit dan ia turut mengehadkan pergerakan.
OA berpunca daripada kemerosotan tulang rawan (yang membantu menyerap tekanan tulang sendi) secara beransur-ansur sehingga akhirnya menyebabkan kesakitan dan kecacatan dengan kehilangan daya mobiliti.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 80 peratus daripada pesakit OA mengalami kekangan pergerakan dan 25 peratus antara mereka pula tidak boleh melakukan aktiviti harian yang penting.
Osteortritis sering berlaku seiring peningkatan usia emas. – Foto hiasan
Osteortritis sering berlaku seiring peningkatan usia emas. – Foto hiasan
Keadaan begini lazimnya menjejaskan golongan tua, individu yang pernah mengalami kecederaan sendi yang traumatik, mereka yang berlebihan berat badan serta golongan tidak aktif.
Sehingga hari ini, tiada rawatan ditemui bagi OA. Bagaimanapun, pesakit dapat mengurangkan kesan OA dengan pengurusan kesakitan melalui senaman ringan.
Cara sebegini dapat menguatkan otot di sekitar sendi serta mengawal berat badan dan melambatkan keperluan untuk menjalani pembedahan.
Di Malaysia, OA yang paling banyak ditemui adalah OA sendi lutut dengan 40 peratus dialami warga berusia 70 tahun ke atas.
Untuk menghadapinya, pesakit harus menyedari kepentingan gaya hidup cergas menerusi senaman untuk menguat dan meregangkan otot bagi menguruskan kesihatan dengan lebih baik.
Selain ubat mengawal kesakitan, senaman penting dalam mengurangkan kesakitan.
Justeru, penting untuk memastikan kita selalu aktif. Senaman juga berfungsi menguatkan sendi dan menambah daya mobiliti.
Kebanyakan pesakit OA adalah golongan tua dan ramai antara mereka turut menghidap penyakit sampingan yang menyebabkan pengambilan pelbagai jenis ubat.
Oleh itu, pemilihan ubat tahan sakit yang betul sangat penting.
Melalui penggunaan ubat tahan sakit, dapat membantu pesakit ketika bersenam dan mengekalkan sendi sihat yang secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup seseorang.
Menerusi senaman yang kerap dilakukan, otot di sekitar sendi dapat diperkuatkan.
Aktiviti sedemikian juga menambah daya mobiliti sendi serta mengurangkan kesakitan dan akhirnya membolehkan pesakit lebih berkemampuan menjalankan aktiviti harian. – nasionalkini.my