KUALA LUMPUR, 16 Julai – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menubuhkan pasukan siasatan dalaman selepas insiden pekerja kontraktor maut dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika melakukan penyelenggaraan kabel di Johor petang semalam.
TNB dalam satu kenyataan berkata, siasatan itu selaras dasar operasi syarikat yang memberi keutamaan kepada aspek keselamatan, yang mana syarikat akan bekerjasama dengan polis bagi membantu siasatan.
“PDRM dipetik melaporkan sebuah SUV terbabas lantas merempuh sebuah kereta dan mesin pengorek di tepi jalan sebelum melanggar kedua-dua mangsa. Kes kini dalam siasatan pihak polis,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, Muhammad Hizran Aiman, 23, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
TNB juga bersimpati atas kejadian menimpa Allahyarham Muhammad Hirzan serta rakan sekerjanya, Amirul Haiqal Shor yang cedera ringan dan dirawat di Hospital Kluang.
“Kedua-dua mangsa adalah pekerja Syarikat JM Letrik Sdn Bhd yang sedang membuat kerja pengorekan di kawasan jalan berkenaan bagi tujuan rentangan kabel,” katanya. – nasionalkini.my