Aimi Isma
ALOR SETAR, 9 Julai – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai telah mengeluarkan sebilah parang ketika bertengkar dengan seorang individu lain di sebuah stesen minyak kawasan rehat dan rawat (R&R) Gurun, arah Selatan pada 1 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata lelaki berumur 35 tahun dari Sungai Petani itu yang juga merupakan pemandu lori telah ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda kira-kira pukul 8.30 malam tadi.
“Seorang pegawai polis telah terlihat satu video pertengkaran diantara dua lelaki yang tular di laman media sosial pada pukul 10 pagi, semalam. Di dalam video yang berlaku di stesen minyak itu, kelihatan seorang lelaki mengeluarkan dan memegang parang.
“Pegawai berkenaan kemudiannya telah mengarahkan anggota polis untuk ke lokasi kejadian. Temubual bersama pengurus cawangan stesen minyak itu telah dilakukan dan disahkan bahawa kejadian berlaku pada 1 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Zaidy berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian, suspek yang memandu lori dan ketika keluar dari hentian Bukit Kobah dekat Pendang telah berselisih faham dengan seorang lelaki yang memandu kenderaan jenis Ford Ranger.
“Suspek berkata pemandu itu telah membunyikan hon kepadanya sehingga menyebabkan perselisihan faham itu berlanjutan sehingga di stesen minyak berkenaan. Suspek turut memaklumkan bhawa pemandu berkenaan telah mengugutnya sebelum dia mengeluarkan sebilah parang dari dalam lorinya.
“Suspek telah membuat laporan polis petang, semalam dan kini ditahan reman selama tiga hari sehingga Selasa ini. Kita juga sedang mengesan pemandu Ford Ranger serta pemilik akaun TikTok untuk membantu siasatan berhubung kes ini,” katanya.
nasionalkini.my