Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 10 Mei – Tindakan seorang pengurus sebuah syarikat bercakap mengenai saiz payudara dengan rakannya didakwa menjadi punca lelaki itu ditikam sehingga mati di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun mati ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Menurutnya sebelum kejadian, si mati bersama rakan-rakannya datang ke gerai berkenaan dalam keadaan mabuk untuk makan selepas selesai berhibur.
“Selepas selesai makan, si mati ada bercakap kepada rakan-rakannya mengenai saiz payudara seorang pelanggan wanita berusia 26 tahun sebelum perbualan itu didengari oleh pengawal peribadi wanita itu dan menegur si mati.
“Situasi kemudian menjadi tegang sehingga berlaku pergaduhan antara si mati, pengawal peribadi berusia 27 tahun dan teman lelaki kepada wanita terbabit berusia 36 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, polis kemudian menerima laporan awam berhubung kejadian itu yang berlaku dalam tempoh 15 minit itu dan pemeriksaan di lokasi selepas mendapati si mati berada dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mengalami kecederaan.
“Mangsa yang cedera telah di bawa ke Hospital Melaka oleh dua rakannya menggunakan pacuan empat roda Ford Ranger namun doktor mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah luka akibat tikaman di jantung,” katanya sambil menambah polis turut merampas pisau dan batang besi yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
Christopher menambah, susulan itu polis menahan tujuh suspek berusia antara 25 sehingga 38 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, tinjauan nasionalkini di tempat kejadian mendapati masih terdapat kesan darah yang sudah kering di atas jalan raya tempat dipercayai mangsa ditemukan terbaring berlumuran darah. – nasionalkini.my