PHNOM PENH, 10 Mei – Skuad bola sepak wanita negara mengikut jejak pasukan lelaki apabila terpaksa pulang awal dari Sukan SEA Kemboja 2023 selepas tewas 1-5 kepada Myanmar di Stadium Army, di sini, petang semalam.
Kekalahan pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A itu menyaksikan skuad kendalian Soleen Al-Zoubi menamatkan saingan tanpa sebarang mata kerana turut tewas kepada Vietnam (0-3) dan Filipina (0-1) dalam dua aksi sebelum ini.
Turun dengan mengharapkan keajaiban untuk lolos ke separuh akhir, pintu gol skuad negara bagaimanapun dibolosi seawal minit ketiga menerusi ledakan July Kyaw.
Khin Marlar Tun kemudian membantu pasukannya untuk menamatkan babak pertama dengan lebih selesa apabila menyumbang dua gol pada minit ke-26 dan 39.
Malaysia bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan menerusi ledakan Intan Sarah Anisah Zulgafli pada minit ke-58, sekali gus menjadi gol tunggal skuad wanita negara sepanjang temasya kali ini, lapor BH.
Kedudukan itu bagaimanapun hanya bertahan empat minit apabila Myanmar menambah gol keempat menerusi San Thaw Thaw sebelum pemain itu mengesahkan kemenangan bergaya pasukannya dengan meledak gol kelima ketika perlawanan berbaki lapan minit. – nasionalkini.my