JOHOR BAHRU, 2 Ogos – Polis menahan seorang lelaki selepas memandu secara melulu dan berbahaya untuk melarikan diri daripada polis sejauh 15 kilometer di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta Proton Persona itu ditahan jam 4.41 pagi selepas dikejar tujuh kereta Cawangan Kereta Peronda (MPV) selama 11 minit.
Beliau berkata, suspek awalnya dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota Cawangan Kereta Peronda (MPV) di Jalan Tebrau, di sini, kira-kira jam 2 pagi.
“Sebaik mengesan kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri sebelum ditahan selepas kenderaannya merempuh pagar keselamatan sebuah taman perumahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, polis merampas Proton Persona dipandu suspek susulan penahanan itu dan semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod kes jenayah dan empat rekod kes dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Memandu Secara Melulu) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – nasionalkini.my