MELAKA, 27 Julai – Mahkamah Tinggi di sini melepaskan dan membebaskan lima individu termasuk seorang wanita daripada pertuduhan mengedar dan memiliki dadah lima tahun lalu.
Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan membabitkan tertuduh Mohd Nizam Makzan, 34; Nurshahira Hamraj, 27; Hairudin Ramle, 24; Muhammad Hilmi Rosly, 33, dan Dermawan Muhammad, 38.
Sinar Harian melaporkan, keputusan itu dibuat setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie yang ditimbulkan terhadap kelima-lima mereka.
Mohd Radzi berkata, pendakwaan gagal membuktikan elemen pemilikan dan empat daripada tertuduh bukan merupakan penghuni kediaman di mana barang terlarang itu dijumpai.
Ujar Mohd Radzi, rumah yang mempunyai beberapa pintu itu berkemungkinan juga boleh diakses masuk oleh sesiapa sahaja, malah tidak dapat membuktikan siapa yang meletakkan barang terlarang itu di atas meja.
“Kalau pun mereka tahu mengenai dadah tersebut tapi jika tidak ada sebarang kawalan adalah tidak mencukupi untuk dibuktikan sebagai pemilikan, jadi ini adalah kelemahan dalam siasatan.
“Oleh kerana pendakwaan gagal membuktikan pemilikan dadah, mahkamah dapati pertuduhan mengedar dan menyimpan dadah ini gagal dibuktikan dan kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya. – nasionalkini.my