ALOR GAJAH, 8 Jun – Seorang tukang cuci yang juga ibu tunggal dan anak perempuannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini hari ini, atas pertuduhan menjalankan dan bersubahat dalam perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen sejak Julai tahun lalu.
Tertuduh ibu tunggal, P Devani, 53, dan anak perempuannya, M Thachini, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin dan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.
Mengikut pertuduhan di hadapan Nariman, Devani didapati menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang kepada pengawal keselamatan, A Francis Xavier, 41, dan isterinya, SC Ramia,26, sebanyak RM4,000 dan mengenakan faedah RM8,950 tanpa suatu lesen sah.
Perbuatan itu yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 5(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951 didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Indah 16, Taman Pengkalan Indah, di sini, antara Julai 2022 hingga Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5(2) akta sama yang memperuntukkan denda minimum RM250,000 sehingga RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan merupakan ibu tunggal bekerja sebagai tukang cuci untuk menyara anak yang masih bersekolah.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bercagar dan bersetuju dengan syarat tambahan pendakwaan.
Sementara itu, dalam prosiding di hadapan Majistret Nurul Bahiyah, Thachini yang bekerja sebagai kerani didakwa membantu pemberi pinjam wang tanpa lesen dengan membenarkan akaun Maybank miliknya digunakan bagi aktiviti itu, pada tarikh, masa dan di tempat sama.
Jika disabitkan dia boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 29AA APPW 1951.
Pegawai Pendakwa Inspektor V Somsundram mencadangkan jaminan RM7,000 namun tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan gajinya yang kecil.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga tamat perbicaraan.
Kes akan disebut semula 10 Julai ini untuk serahan dokumen. – nasionalkini.my