JEMPOL, 23 Jun – Kejadian pecah masuk sebuah kedai emas di Bahau pagi semalam yang menyebabkan pemiliknya mengalami kerugian RM1.08 juta dipercayai dilakukan beberapa individu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata ia berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.
Katanya hasil siasatan awal dijalankan polis, suspek dipercayai masuk ke dalam kedai emas itu dengan cara memotong besi tingkap nako di bahagian tandas.
“Suspek juga memecahkan pintu besi, seterusnya masuk ke bilik kebal.
“Beberapa peralatan diguna untuk memecah masuk, memotong besi dan pintu ditemui di tempat kejadian diambil polis untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Chang Hook berkata, suspek yang belum dikenal pasti itu memakai topi, bersarung tangan dan memakai pelitup muka ketika melakukan jenayah itu.
Katanya, siasatan terperinci kejadian itu dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Raj Kumar di talian IPD Jempol 06-4582222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – nasionalkini.my