Oleh Adnan Mohamad
KUALA TERENGGANU, 10 Mei – Lapan penyeludup rokok haram lari bertempiaran bersembunyi di dalam paya pokok nipah dekat Kampung Pengkalan Gelap, di sini, Sabtu lalu.
Mereka berbuat demikian selepas ‘port’ sindiket itu diserbu pegawai dan anggota kastam Terengganu.
Tindakan kumpulan penyeludup rokok itu menyaksikan sejumlah rokok pelbagai jenama bernilai RM564,000 berjaya dirampas.
Pengarah kastam Terengganu, Mohd Nadzri Ariffin berkata, serbuan jam 1.30 petang itu membawa kepada rampasan dua buah lori, sebuah bot fiber dan dua enjin berkapasiti 250 kuasa kuda dianggarkan bernilai RM260,000.
“Nilai cukai rokok dirampas sekitar RM3.2 juta dan kita dapati modus operandi sindiket ini adalah membawa rokok seludup dipercayai menggunakan laut sebelum dipunggah ke lori yang menunggu berdekatan kolam udang di kampung terbabit.
“Hasil pemeriksaan dijalankan menemui 470 peti rokok berjumlah 4.7 juta batang rokok seludup pelbagai jenis di dalam dua buah lori berkenaan.
“Pemantauan serta siasatan yang dilakukan kami mendapati aktiviti penyeludupan rokok di negeri ini sering terjadi di kawasan utara Terengganu iaitu Besut dan Setiu, ” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Mohd Nadzri berkata, siasatan juga mendapati kawasan pantai dari Besut hingga Setiu merupakan lokasi utama bagi penyeludup rokok kerana terdapat banyak lorong tikus digunakan sindiket itu.
Katanya, rokok seludup terbabit dipercayai untuk pasaran di negeri Pantai Timur semenanjung dan Lembah Klang. – nasionalkini.my