LANZAROTE, 9 Julai – Kira-kira 19 penumpang sebuah pesawat tambang murah di Britain yang menuju ke Liverpool berdepan detik melucukan terpaksa turun semula daripada pesawat yang mereka naiki selepas mendapati pesawat berkenaan terlalu berat untuk berlepas.
Memetik independent.co.uk, dalam kejadian yang jarang berlaku itu melibatkan pesawat EasyJet dari Lanzarote melepasi syarat berat untuk berlepas, menyebabkan juruterbang meminta jasa baik penumpang turun dari pesawat secara sukarela.
Penerbangan dari Lapangan Terbang Lanzarote di Sepanyol ke Lapangan Terbang John Lennon di Liverpool itu sepatutnya berlepas pada jam 9.45 malam, 5 Julai lalu namun ditangguhkan berikutan beberapa masalah teknikal.
Terdahulu, juruterbang memaklumkan tiga masalah utama yang menjadi punca kepada kelewatan penerbangan pesawat berkenaan disebabkan terlalu berat, landasan pendek, serta keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
“Terima kasih semua kerana tiba di sini hari ini. Kerana terdapat begitu ramai penumpang kali ini, pesawat ini menjadi agak berat.
“Keadaan pesawat yang berat menyebabkan pesawat itu terlalu berat untuk berlepas,” kata juruterbang dalam video tular tersebut.
Juruterbang kemudian memberi cadangan untuk meringankan pesawat dan meminta kira-kira 20 penumpang untuk secara sukarela meninggalkan pesawat berkenaan.
Bagaimanapun hanya 19 penumpang bersetuju untuk turun dari pesawat dan masuk semula ke lapangan terbang.
Pihak syarikat penerbangan kemudian menawarkan insentif €500 (kira-kira RM2,560) kepada penumpang yang sanggup melakukan. – Agensi