in

Riezman tukar aktiviti kerana slip disc

Riezman Khuzaimi perlu memakai pendakap leher sejak mengalami slip disc

Oleh Hajidah Miharbi

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Pelakon, pengarah dan penerbit, Riezman Khuzaimi, 53,  terpaksa melupakan seketika aktiviti menunggang motosikal akibat penyakit slip disc dialaminya sejak April lalu.

Riezman atau Mohd Rizman Mohd Khuzaimi berkata, dia mula mengalami kesakitan di bahagian tengkuk ketika bangun untuk bersahur Ramadan lalu.

“Mula ingatkan salah urat atau apa, jadi pergi klinik saja dan klinik bagi pain killer. Lepas tiga hari tak hilang, pergi check kat hospital dan buat scan semua, doktor kata kena slip disc C4 dan C5.

“Kena masa seminggu puasa dan kini dah nak masuk dua bulan. Masa bulan pertama tidur pun pakai pendakap leher. Sepanjang raya tu berjalan pakai ni.

“Tak tahulah puncanya apa, agaknya banyak sangat tengok telefon sebab dok buat TikTok, tengok telefon ke bawah. 

“Doktor cakap salah satu sebab bila kita buat kerja guna telefon atau komputer banyak tunduk, itu akan terjadi pada semua orang. Cuma nasib je sebab urat kita tu bila bengkok ia terkepit, itu yang terjadi kebas sebelah tangan,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Goyang Asia Koplo Milenia di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort.

Jelas Riezman, doktor memberitahu penyakit slip disc yang dihadapinya itu susah untuk pulih sepenuhnya dan perlu melakukan fisioterapi selalu.

“Kalau ikut doktor, ada orang buat fisio sampai setahun.. dia cakap selalunya tak akan baik sepenuhnya dan terpaksa melakukan fisio.

“Sekarang ini saya perlu buat fisio seminggu tiga kali dan kena pakai pendakap leher ini selalu. Angkat berat pun tak boleh walaupun kesakitan di bahagian tengkuk. 

“Rasa sakitnya kebas dan menyucuk macam kena elektrik. Tapi sekarang ini dah kurang tapi sesekali  ia akan jadi pada jari, cengkaman tak kuat.

“Masa mula-mula, bulan pertama,  selang sejam ia menyucuk tapi bila kita dah naikkan pendakap ia akan kurang,” katanya yang menggunakan dua jenis pendakap leher.

Riezman akui, ketika mula memakai pendakap leher itu memang rasa ganggu namun lama kelamaan sudah terbiasa,.

“Kalau nak ikut pakai benda ini pada mula memang rasa ganggu tapi lama kelamaan dah biasa sampai tidur pun pakai benda ini. Tidur dah jadi tertib. 

“Tak boleh operate, kalau buat pembedahan pun no point  50/50. Selalu yang operate tu dekat L1. Yang ini atas dan lebih kepada fisio. Kalau buat fisio ia akan sembuh tapi bukanlah 100 peratus kerana ia akan datang balik. 

“Awalnya, tidak dinafikan yang emosi saya terganggu dan jadi stress. Sekarang ini aktiviti saya dah banyak berubah, jadi lebih kepada aktiviti membaca,” katanya. – nasionalkini.my

KDN rampas jam LGBT

20230523 090657

Menu sihat untuk kekal aktif