in

Ibnor Riza reda dengan dugaan, yakin ada hikmah

ibnor

Oleh Hajidah Miharbi

SETIAP orang ada perkara yang paling ditakuti atau cuba dielak dalam kehidupan tapi perkara  itulah yang Allah berikan. 

Semasa bertemu dengan penyanyi bersuara emas, Ibnor Riza sebelum raya baru-baru ini, beliau memberitahu tak menyangka dirinya akan diduga dengan penyakit yang di luar jangkaan.

“Benda ini abang paling takut. Biar abang kena potong kaki tak apa kerana abang tak nak penyakit ni (kanser lifoma tahap empat) tapi penyakit tu yang datang kat abang.

WhatsApp Image 2023 04 27 at 1.17.52 PM
Bersama isteri pertama, Norhayati Md Nor (kanan) dan Sarimah Sulaiman serta seorang daripada anak lelakinya. – nasionalkini.my

“Bayangkan Allah nak uji abang, sepanjang abang sakit 15 show datang, mereka (penganjur) tak tahu abang sakit. Siap boleh tanya bila pula sakit? Abang tak suka orang tanya sakit apa sebab abang dah beritahu pasal sakit pada media sebelum ini.

“Ini abang syukur boleh bercakap, hari tu tak boleh langsung tak ada suara. Tapi sekarang suara dah okey cuma tak boleh menyanyi saja lagi sebab masih kimo (kimoterapi),” katanya yang melakukan rawatan kimo pertama pada 13 Mac lalu.

Ibnor yang  melakukan rawatan kimo ketiga pada 20 April lalu memberitahu setiap kali rawatan bahagian tulang belakangnya akan dicucuk untuk masukan ubat dan proses itu menyakitkan.

WhatsApp Image 2023 04 27 at 1.17.39 PM 1
Keadaan Ibnor Riza terkini yang berkerusi roda kerana badannya tidak kuat untuk berdiri atau mengatur langkah.

“Ini baru kimo kedua, kimo ketiga 20 April ini. Tiap kali kimo abang akan dicucuk di tulang belakang untuk masukkan ubat kimo melalui tulang belakang, tu yang sakit.

“First time buat kimo, abang kena duduk di hospital selama lima hari. Dia bagi kimo ringan dulu, sebab tu tak boleh balik takut apa-apa terjadi sebab abang pernah pengsan sebelum ini. 

“Sekarang ni abang kena kuat sebab kesan kimo ni menganggu kita punya emosi dan kekuatan ketahanan badan. Maknanya sekarang ini abang kena tahan fizikal dan mental. 

WhatsApp Image 2023 04 27 at 1.18.06 PM
Ibnor reda Norhayati pulang ke Brunei untuk menjaga bapanya yang sakit.

“Abang boleh bangun tapi berjalan akan goyang. Setakat ni kalau sembahyang pun kena duduk tak boleh berdiri,” cerita Ibnor tentang tahap kesihatannya setiap kali menjalani rawatan kimoterapi.

Kata Ibnor, dia perlu menjalani rawatan kimo sebanyak lapan kali. Setiap tiga minggu sekali, dia akan pergi ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk buat kimo. 

“Bila buat kimo, abang kena makan ubat 20 biji satu hari. Puasa pun tak boleh. Abang tak boleh makan daging, ayam, sayur atau ulam-ulaman semua kena masak. Sekarang ni abang tak tahu apa yang abang nak makan kerana abang jadi takut.

“Hari ni abang rasa selera semua pahit. Tekak pahit dan semua benda yang abang makan jadi pahit. Abang hanya minum susu dan air saja. Air kena banyak minum, kalau tak badan akan rasa gigil. Buah-buahan pun tak boleh makan sembarangan, boleh makan tembikai, jambu dan buah lai saja.

“Berat badan abang turun banyak, hari tu berat badan turun 34 kilogram (kg). Masa sihat dulu berat abang 126 kg, minggu lepas timbang 92 kg. Selera makan hilang selepas kimo,” katanya tanpa berselindung.

Meskipun diduga dengan penyakit dan hilang punca pendapatan buat seketika, Ibnor tak mengeluh kerana sedar tiap yang berlaku ada hikmahnya.

“Sebenarnya banyak hikmah yang abang dapat, pertama sekali, abang leka tak ambil tahu pasal kesihatan, sibuk mencari rezeki dan tak ingat Allah. 

“Tapi sekarang abang rasa syukur dengan apa yang  Allah bagi kat abang. Setidak-tidaknya abang ingat dan boleh qada sembahyang. Boleh baca Quran, sedangkan abang sekolah agama, abang banyak tinggal benda-benda macam tu. 

“Setidak-tidaknya abang banyak menghafal surah-surah. Jika abang pergi (meninggal) pun setidak-tidaknya abang boleh hafal al Mulk, al khafi dan surah-surah lain.

“Banyak juga hikmahnya kerana menyatukan keluarga abang. Keluarga abang kedua-duanya terlalu baik untuk abang. Mereka tak pernah bergaduh sepanjang abang berkahwin.

“Dugaan yang mendatang ni memang besar dan di waktu yang sama hikmah pun banyak. Jadi abang tak tau setakat mana Allah bagi abang hidup sebab benda-benda macam ni semua urusan Allah.

“Apapun abang sentiasa berdoa kepada Allah, abang zikir setiap malam mana tahu Allah bagi peluang untuk abang terus menyara keluarga kerana abang ada tanggungjawab lagi kerana anak abang yang last ni baru tingkatan satu,” katanya.

Ujarnya, dugaan yang mendatang ke atasnya adalah ingatan Allah kepada dirinya.

“Abang sekarang ini pun dah 62 tahun,  memang itulah signal yang Allah nak bagi sama ada Dia nak bagi abang terus menyanyi atau Dia nak suruh abang stop. 

“Aturan yang Allah bagi kat abang, apa saja yang kedepan ni abang terima dan reda saja. Harapan abang tinggi untuk kembali sihat untuk selesaikan tugasan tertunggak. Abang masih ingat hutang-hutang dengan orang yang belum dijelaskan,” katanya berterima kasih kepada rakan-rakan artis yang membantunya. -nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 04 26 at 19.43.27

Setiausaha Kerajaan Pahang bersara selepas 34 tahun berkhidmat

operasi

Ops Pantau: 374 peniaga dikenakan tindakan