KUALA LUMPUR, 13 Mei – Pelakon Alicia Amin tidak dapat menyembunyikan rasa teruja saat mengetahui tersenarai dalam pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, tahun ini.
Alicia atau nama sebenarnya, Raja Alicia Raja Amin, 28, berkata ia adalah satu lembaran baharu untuknya sejak mula mengorak langkah dalam karier seni pada 2017.
“Ini adalah kali pertama saya tercalon dalam ABPBH, sangat terkejut apabila dimaklumkan tercalon dalam dua kategori pula, lagilah saya tidak sangka.
“Ini satu penghormatan juga buat saya apabila lakonan diterima, pencalonan ini memang buat saya gembira,” katanya ditemui pada majlis pelancaran ABPBH 35 di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, di sini, malam tadi, lapor BH.
Majlis pelancaran bertemakan ‘hipster’ dihadiri Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH dan Penaung ABPBH 35, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengasas Fellera, Sharifah Khyra Muhsin.
Terdahulu, pelakon berdarah kacukan Melayu, Jerman dan Cina itu tersenarai sebagai 20 calon memberi saingan dalam kategori Aktres Filem Wanita Popular dan Couple Filem Popular menerusi filem The Disappearance Of Irdina Adhwa hasil gandingan bersama Syazuwan Hassan.
Dalam masa sama, Alicia menganggap saingan bakal dihadapi pada ABPBH 35 sangat sengit disebabkan calon lain mempunyai nama besar dalam bidang lakonan.
“Akhirnya ia bergantung kepada rezeki saya, sama ada menang atau tidak, ini adalah pertandingan dan saya harap yang terbaik.
“Sesiapa yang tonton lakonan saya sebelum ini, saya sangat hargai, ini adalah pencapaian baharu saya dalam bidang lakonan,” katanya. – nasionalkini.my