JAKARTA, 24 Mei – Gunung Merapi di Indonesia, antara gunung berapi paling aktif di dunia, meletus semula semalam dan memuntahkan lahar lebih dua kilometer dari kawahnya.
Imej dramatik lahar yang mencurah dari kawah gunung berapi itu berjaya dirakam oleh Balai Cerap Gunung Merapi yang dikendalikan kerajaan iaitu Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Bencana Geologi (BPPTKG), dipetik dari Agensi.
Susulan itu, berpuluh-puluh gegaran kecil letusan Merapi direkodkan.
Menurut Ketua BPPTKG, Agus Budi Santoso, aktiviti Merapi sedikit meningkat sejak beberapa minggu lalu, tetapi ia bukan luar biasa bagi gunung berapi tersebut.
Merapi, yang terletak hanya 28 kilometer di utara Yogyakarta, dipantau rapi oleh agensi BPPTKG.
Pihak berkuasa juga melaksanakan zon sekatan 7 kilometer tahun lepas berikutan penilaian risiko untuk kampung di sekitarnya.
Bagaimanapun, paras amaran Merapi kekal tidak berubah iaitu kedua tertinggi sejak 2020.
Letusan besar terakhir gunung berapi pada 2010 membunuh lebih 300 orang dan memaksa pemindahan kira-kira 280,000 penduduk.
Ia letusan paling kuat di Merapi sejak tahun 1930 apabila kira-kira 1,300 orang terbunuh. – nasionalkini.my