SUMATERA BARAT, 17 April – Dua wanita yang merupakan pekerja di sebuah pusat karaoke di kafe di Pasir Putih Kembang, Pesisir Selatan, dekat sini, dibogelkan serta diarak beramai-ramai oleh warga sebelum dibuang ke laut setelah mangsa masih berdegil meneruskan perniagaan di premis itu pada Bulan Ramadan.
Tindakan dua wanita terbabit melakukan aktiviti tidak bermoral pada pukul 11 malam 8 April 2923 lalu akibat tidak menghormati bulan yang mulia ini dan telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat setempat.
Sebelum ini, beberapa pemimpin tempatan dikatakan telah melarang pemilik kafe supaya menghentikan operasinya sempena Bulan Ramadan tetapi tidak dipatuhi mereka.
Portal berita detikNews pada 12 April 2023 lalu dipetik melaporkan bahawa berikutan kedegilan pemilik kafe serta dua wanita masih meneruskan perniagaan itu setiap malam mengakibatkan kumpulan warga tempatan semakin marah lalu menyerbu di kafe tersebut pada malam kejadian.
Beberapa penduduk kampung merosakkan peralatan hiburan itu serta mengherat kedua wanita berkenaan sehingga ke tepi pantai untuk dihumban ke dalam laut dalam keadaan berbogel.
Dalam video yang viral di media sosial kelihatan dua wanita itu dari Kecamatan Lengayang merayu serta meronta-ronta agar penduduk kampung tidak melakukan kekerasan yang memalukan diri mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pesisir Selatan AKP Novianto Taryono mengesahkan kejadian tersebut dan kes itu masih lagi dalam siasatan polis
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua mangsa diperlakukan sedemikian kerana warga begitu marah kepada mereka meneruskan operasi karaoke di kafe itu pada bulan Ramadan. – nasionalkini.my