JOHANNESBURG, 6 Julai – Sekurang-kurangnya 16 orang, termasuk kanak-kanak maut selepas berlaku kebocoran gas di kawasan setinggan Afrika Selatan berhampiran Johannesburg.
Bencana itu berlaku di penempatan Angelo berhampiran daerah Boksburg, timur Johannesburg
“Sejumlah 16 mangsa termasuk, wanita dan kanak-kanak dilaporkan maut akibat kejadian berkenaan,” kata jurucakap perkhidmatan kecemasan, William Ntladi kepada AFP di tempat kejadian.
“Maklumat awal yang diperoleh menunjukkan gas berkenaan digunakan ‘sebagai sebahagian daripada aktiviti perlombongan haram,” katanya.
Perkhidmatan kecemasan menerima panggilan kira-kira jam 8 malam waktu tempatan membabitkan laporan kejadian letupan gas, bagaimanapun ketika ketibaan anggota penyelamat di lokasi mendapati ia adalah ‘kebocoran gas dari silinder’ yang mengandung ‘gas beracun’, kata Ntladi.
Dengan kadar pengangguran yang tinggi iaitu lebih daripada 32 peratus, Afrika Selatan adalah lokasi kepada ribuan pelombong haram.
Sebelum ini, berlaku kejadian letupan lori tangki gas yang mengorbankan 41 orang pada malam Krismas tahun lalu apabila sebuah trak yang membawa gas petroleum cecair (LPG) tersangkut di bawah jambatan, mencetuskan kebocoran dan letupan.
Antara mangsa terdiri orang ramai dan pegawai perubatan yang menghampiri tempat kejadian sama ada untuk membantu atau melihat lori yang tersangkut. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN