KUALA LUMPUR, 8 Mei – Kenderaan berpetrol masih menjadi pilihan pengguna di negara ini walaupun banyak syarikat automotif mula menawarkan kenderaan elektrik (EV) di pasaran.
Hasil tinjauan sempena Malaysia Autoshow 2023 pada Sabtu lalu, RHB Investment Research mendapati para pengunjung begitu tertarik dengan pameran EV yang menawarkan model seperti BMW i4, XM, iX1, Kia EV6, Mercedes EQS dan EQE.
Penganalisisnya, Jim Lim Khai Xhiang berkata, meskipun terdapat banyak EV tersedia dalam pasaran, tetapi permintaannya masih lagi lemah.
“Kami difahamkan sesetengah EV mempunyai tempoh menunggu yang lama dan tiada kepastian kerana pengedar tidak tahu bila mereka akan menerima unit import mereka.
“Malah, perbincangan kami dengan kakitangan jualan turut mengesahkan bahawa pengguna secara amnya masih lebih gemar menggunakan kenderaan berpetrol berbanding EV,” katanya dalam nota kajian.
Malaysia Autoshow 2023 diadakan selama empat hari bermula 4 hingga 7 Mei 2023 mengumpulkan pelbagai jenama antarabangsa dan tempatan dalam sektor automotif.
Hasil pemerhatian firma itu sepanjang acara berlangsung mendapati jenama Honda, Toyota, Chery, Great Wall Motors (GWM), BMW dan Mercedes sesak dengan kehadiran pengunjung.
Menurut Khai Xhiang, secara amnya, permintaan menurun daripada separuh kedua 2022 dan suku pertama 2023, namun beberapa model popular masih mempunyai tempoh menunggu yang agak lama.
Sebagai contoh, kebanyakan model Perodua memerlukan tempoh menunggu antara 2 hingga 3 bulan manakala Bezza dan Axia pula selama 6 bulan atau lebih.
“Kami dapati gerai pameran Honda paling ramai pengunjung walaupun model HR-V dan Civic mempunyai tempoh menunggu paling lama sekitar 4 hingga 6 bulan, sedangkan model lain mempunyai stok sedia ada dan hanya mengambil masa 1 hingga 2 bulan untuk penghantaran.
“Toyota juga sesak dengan kehadiran pengunjung terutama model GR. Didapati tempoh menunggu model serba baharu Vios sekitar 6 hingga 7 bulan, dan tiada pembatalan dibuat ekoran skandal membabitkan Daihatsu,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, kenderaan jenama China juga dikerumuni pengunjung terutama bagi mereka yang ingin mengetahui model baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Kunjungan kami ke pameran ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi pandangan positif kami terhadap sektor automotif, dengan permintaan terus kukuh didorong pelancaran model baharu,” katanya.
Mengambil kira faktor itu, RHB Investment mengekalkan pandangan ‘overweight’ terhadap sektor ini dengan pilihan utamanya ialah saham Bermaz Auto Bhd. dan UMW. – nasionalkini.my