Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 8 Mei – Seorang pekerja kedai telefon dijatuhi hukuman 14 bulan penjara di Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki pistol tiruan dan menakut-nakutkan secara jenayah terhadap seorang penunggang motosikal bulan lalu.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Low Zhao Yuan, 29, yang membuat pengakuan itu sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah menakut-nakutkan secara jenayah hendak menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zulhusni Mohamad Amin, 24.
Perbuatan itu menjadi kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sana yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati memiliku sepucuk pistol tiruan jenama Wingun Patent Super Sport 702Cal. 6mm BB nombor siri 14F76026 mengandungi enam butir peluru.
Sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.17 tengah malam 28 April lalu di jalan berhadapan Bangunan Melaka Mall, Jalan Lebuh Ayer Keroh, di sini.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam James S Thanjong Tuan dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana merupakan bapa tunggal yang perlu menyara kedua ibu bapa dan dua anak masih bersekolah selain telah menyesal.
Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri, bagaimanapun dalam hujahannya memohon hukuman setimpal kerana mengambil tindakan terburu-buru dan berbahaya selain memiliki senjata yang menyalahi undang-undang.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Mazana kemudian mengarahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara lapan bulan bagi Seksyen 506 dan enam bulan penjara
di bawah Seksyen 36(1).
Kedua-dua hukuman diarahkan berjalan serentak dari dari tarikh ditangkap pada 28 April lalu.
Media pada 28 April lalu melaporkan seorang pemandu Perodua Myvi dicekup orang ramai selepas mengacukan sepucuk pistol di kepala seorang penunggang motosikal di hadapan Melaka Mall.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 24 tahun yang bekerja sebagai mekanik bagaimanapun berjaya merampas senjata terbabit selepas bergelut dengan suspek berusia 29 tahun. – nasionalkini.my