in

Pembeli sanggup tunggu lama untuk kereta baharu

IMG 20230523 WA0013
Jualan kenderaan pada April menurun kepada 46,583 unit berbanding bulan sebelumnya, berdasarkan data dikeluarkan MAA - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sudah berakhir tidak menghalang pembeli untuk mendapatkan kereta idaman.

Menurut RHB Investment Bank, beberapa jenama popular masih menerima pesanan yang kukuh walaupun ia mengambil tempoh masa menunggu yang agak lama.

Katanya, ia terutamanya membabitkan pelancaran beberapa model baharu, antaranya Proton X90.

“Semakan kami ketika Malaysia Auto Show 2023 baru-baru ini mendapati kebanyakan jenama mempunyai tempoh menunggu sehingga 6 bulan.

“Perodua contohnya pembeli perlu menunggu antara 2 hingga 6 bulan manakala Toyota (3 hingga 6 bulan) dan Honda (1 hingga 6 bulan),” katanya dalam nota kajian.

Melihat kepada prospek sektor automotif yang kekal positif di sebalik data April 2023 yang lemah, RHB Investment mengekalkan pandangan ‘overweight’ terhadap sektor berkenaan.

Data dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Jumaat lalu menunjukkan jualan kenderaan di Malaysia bagi April 2023 menyusut kepada 46,583 unit berbanding 57,606 unit pada bulan sama tahun lalu.

Jualan kenderaan penumpang adalah sebanyak 41,389 unit pada April 2023 berbanding 51,146 unit pada April 2022, manakala jualan kenderaan komersial turut menguncup kepada 5,194 unit daripada 6,460 unit.

Jumlah keseluruhan industri (TIV) pada bulan tersebut adalah 41 peratus lebih rendah dari Mac 2023 iaitu pada 78,800 unit.

MAA menyifatkan skim pengecualian cukai yang sudah berakhir dan bulan bekerja lebih pendek susulan cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri menyumbang kepada penurunan jualan bagi April.

Bagaimanapun, secara keseluruhan RHB Investment mengekalkan unjuran TIV 2023 sebanyak 680,000 unit, lebih tinggi berbanding MAA sebanyak 650,000 unit.

Saham pilihan utamanya bagi sektor itu ialah Bermaz Auto dan UMW. – nasionalkini.my

The Magpies tempah slot Champion League

Tarif elektrik T20 diumum dalam masa terdekat