KUALA LUMPUR, 1 Mei – Perodua Axia baharu selamat dipandu dan tiada panggilan semula akan dibuat.
Perodua dalam satu kenyataan media turut memaklumkan tidak akan menghentikan penghantaran kenderaan model baharu ini kepada pelanggan meskipun ‘ketidakaturan prosedur’ ujian didedahkan Daihatsu Co Ltd baru-baru ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, syarikat itu sudah melantik Daihatsu Co Ltd menjalankan ujian keselamatan bagi Perodua Axia baharu di Jepun dan disaksikan oleh pihak berkuasa dan agensi yang relevan bagi tujuan penilaian pihak terbabit.
“Sebaik sahaja kami menerima berita mengenai ‘ketidakaturan prosedur’ oleh Daihatsu, kami menghubungi pihak terbabit serta merta untuk mengenal pasti sama ada standard keselamatan Perodua Axia baharu turut terjejas atau sebaliknya, dan kami diberi jaminan bahawa pensijilan UN-R95 diberikan kepada Perodua Axia model baharu tetap sah dan diperakui walaupun Daihatsu membuat pendedahan sedemikian.
“Kami memohon maaf di atas segala kekeliruan berlaku kepada para pelanggan kami berhubung perkara ini dan kami memberi jaminan bahawa segala maklumat keselamatan dan spesifikasi semua model kenderaan Perodua adalah diperakui badan profesional,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Bernama.
Zainal Abidin berkata, syarikat itu akan terus memantau situasi tersebut dan akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai.
“Perodua sentiasa mengutamakan keselamatan dan keselesaan para pelanggan kami dan akan terus berbuat demikian sebagai sebahagian daripada amalan kami dalam menjangkaui setiap jangkaan,” katanya. – nasionalkini. my