KUALA LUMPUR 1 Mei – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegur sebuah portal berita tempatan yang menyiarkan berita palsu tentang kenyataan penyanyi popular tanah air mengenai persembahan beliau pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Alor Setar, Kedah kelmarin.
Menurut beliau, penyanyi tersebut, Datuk Seri Siti Nurhaliza menafikan dakwaan yang dibuat oleh portal berita tersebut dengan menyatakan sokongan kepada kerajaan Kedah.
“@CTNurhaliza11 tegur @rotikaya tentang berita palsu yang ditulis laman itu.
“Malangnya berita palsu ini tersebar sejak semalam dan telah menjadi fitnah yang merebak jauh ke pelbagai komuniti. Malah ada yang percaya dan dijadikan bahan politik,” katanya menerusi ciapan akaun Twitter miliknya.
Fahmi turut meminta rakan-rakan media untuk sentiasa mengesahkan info dan sumber sebelum menerbitkan berita agar tidak timbul isu seperti ini.
“Tindakan undang-undang juga boleh diambil oleh agensi penguatkuasaan sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran.
Sebelum ini tersebar dalam media sosial kenyataan yang dibuat oleh pelantun lagu Cindai itu bahawa beliau dijemput untuk memeriahkan majlis dan tidak menyangka ia adalah seperti majlis politik.
Akaun media sosial yang menggunakan nama Siti Nurhaliza itu kemudian dipetik oleh sebuah portal tempatan sekali gis menjadi perdebatan dalam kalangan warga maya.
Sehubungan itu, Siti Nurhaliza menerusi akaun rasminya menafikan dakwaan itu dan meminta portal tersebut jangan panjangkan berita palsu serta menafikan tidak pernah membuat kenyataan itu. – Nasionalkini.my